Larangan berdoa supaya disegerakan hukuman di dunia ini
Hadith Pertama – Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menziarahi salah seorang Islam yang telah lemah sangat (sakit tenat) sehingga dia telah menjadi seperti anak ayam (atau anak burung). Maka Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya, “Adakah engkau telah berdoa dengan sesuatu doa atau kau minta kepada Allah benda itu?”. Dia menjawab, “Ya. Saya selalu berdoa, saya kata: Ya Allah! Kalau Engkau hendak menyeksa aku di akhirat, segerakanlah seksaan itu untukku di dunia ini”. Rasulullah s.a.w. terperanjat lalu bersabda: Subhanallah! Kamu tidak akan mampu. Kenapa engkau tidak kata begini, “Ya Allah! Kurniakanlah kebaikan kepada kami di dunia ini dan di akhirat juga kebaikan dan peliharakanlah kami dari azab neraka”. Kata perawi, selepas itu Nabi s.a.w. berdoa kepada Allah untuknya dan Allah menyembuhkannya.
Hadith Kedua – Melalui sanad yang lain, diriwayatkan hadith seperti di atas (hadith pertama) kecuali tiada ungkapan, “Lindungi kami dari azab neraka”. Hadith Ketiga – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w. pernah masuk menemui salah seorang Sahabat dengan maksud menziarahinya. Dia pada ketika itu sudah jadi seperti anak burung. Sama seperti hadith Humaid sebelum ini (hadith pertama) kecuali dalam hadith ini perawi menyebut, “Kamu tidak akan mampu menghadapi azab Allah” dan dia tidak menyebutkan, “Maka Nabi s.a.w. berdoa kepada Allah untuknya dan Allah menyembuhkannya”.
[RINGKASAN] Larangan berdoa supaya disegerakan hukuman di dunia ini.
1. Tidak boleh berdoa agar Allah segerakan hukuman di dunia ini supaya dilepaskan hukuman di akhirat nanti. Tetapi boleh meminta dijalankan hukuman ke atas kesalahan-kesalahan yang ditetapkan di dunia ini. Ada Sahabat r.a. yang meminta dihukum hudud kerana melakukan zina.
2. Nabi menziarahi seorang Sahabat yang sakit tenat sehinggakan keadaannya seperti anak ayam (atau anak burung). Nabi s.a.w. bertanya beliau adakah dia berdoa atau meminta apa-apa daripada Allah. Beliau menjawab bahawa dia selalu berdoa supaya disegerakan hukuman di dunia ini sekiranya ada hukuman untuknya di akhirat nanti. Nabi s.a.w. terperanjat mendengar doa tersebut dan bersabda yang dia tidak akan mampu menanggungnya. Baginda s.a.w. menyarankan supaya berdoa dengan doa ini, maksudnya, “Berikanlah kebaikan dalam dunia kepada kami, kebaikan juga di akhirat, dan hindarkanlah kami daripada azab neraka”. Kemudiannya, Nabi s.a.w. berdoa agar Allah menyembuhkannya, dan Allah menyembuhkannya selepas itu.
3. Jika seseorang melakukan kesalahan yang telah ditetapkan hukumannya (contohnya hukuman hudud), dia boleh meminta supaya dijatuhkan hukuman yang ditetapkan tersebut. Hukuman tersebut menjadi “kaffarah” (penebus dosa) kepadanya dan dia akan terlepas dari hukuman di akhirat. Walaupun begitu, Nabi tidak menggalakkan orang yang melakukan kesalahan mendedahkan kesalahannya dan meminta hukuman dijatuhkan ke atasnya. Jalan terbaik ialah bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat Nasuha) dan Allah boleh mengampunkannya. HIkmah di sebalik peristiwa Sahabat r.a. yang mengaku melakukan kesalahan dan meminta dijatuhkan hukuman ke atasnya ialah untuk menunjukkan hukum-hukum Allah adalah benar dan bukan hanya teori semata-mata dan juga untuk menunjukkan betapa kuatnya iman para Sahabat yang yakin sepenuhnya apa sahaja yang Nabi sabdakan.
4. Nabi bersabda, “Kalau aku salah dalam memaafkan, itu lebih baik”, menunjukkan, Nabi s.a.w. tidak suka menghukum kecuali terpaksa. .
5. Hadith ini memberi panduan kepada kita apakah doa yang dibolehkan dan apakah doa yang dilarang.
Kelebihan zikir, doa dan menghampirkan diri kepada Allah dan bersangka baik terhadap Allah
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman, “Aku mengikut keyakinan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku bersamanya bila dia berdoa kepada Ku”.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w, Baginda bersabda: Allah azzajawalla berfirman, “Jika hamba-Ku menghampiri-Ku kadar sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta, dan jika menghampiri-Ku sehasta Aku akan menghampirinya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, Aku akan datang kepadanya dengan berlari-lari anak”.
Hadith Ketiga – Dengan satu sanad yang lain, hadith ini adalah seperti sebelum ini (hadith kedua), kecuali dalam riwayat ini tidak disebut, “Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, Aku akan datang kepadanya dengan berlari-lari anak”.
Hadith Keempat – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah azzajawalla berfirman, “Aku mengikut keyakinan hamba-Ku terhadap Ku dan Aku bersamanya bila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku di dalam dirinya sendirian, Aku akan mengingatinya di dalam Diri-Ku (sendirian). Jika dia mengingati-Ku dalam khalayak, Aku akan mengingatinya dalam khalayak yang lebih baik daripadanya. Jika dia menghampiri-Ku sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. Jika dia menghampiri-Ku sehasta, Aku akan menghampirinya sedepa. Dan jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, Aku akan datang kepadanya dengan berlari-lari anak.
Hadith Kelima – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Zar katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah Azzajawalla berfirman, “Sesiapa melakukan kebaikan dia akan mendapat sepuluh kali ganda seumpamanya dan Aku tambah lagi. Sesiapa yang melakukan kejahatan maka balasannya ialah kejahatan (keburukan) seumpamanya, atau Aku mengampuninya. Sesiapa yang mendekati-Ku sejengkal Aku akan mendekatinya sehasta. Sesiapa yang mendekati-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Sesiapa yang datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, Aku akan datang kepadanya dengan berlari-lari anak. Sesiapa menemui-Ku dengan dosanya sepenuh bumi tetapi dia tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu yang lain, Aku akan menemuinya dengan keampunan seumpama itu juga (sepenuh bumi)”.
Hadith Keenam – Dengan sanadnya yang lain, hadith ini adalah seperti sebelum ini (hadith kelima) kecuali ada perbezaan, “Dia akan mendapat sepuluh kali ganda seumpamanya atau (hadith sebelum ini menyebut “dan”) Aku tambah lagi”.
[RINGKASAN] Kelebihan zikir, doa dan menghampirkan diri kepada Allah dan bersangka baik terhadap Allah
1. Kelebihan zikir, doa, taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah taala dan berbaik sangka terhadap Allah. Nota: Sebahagian hadith dalam bab ini telah dibincangkan sebelum ini, rujuk: https://youtu.be/JhnSpv-6W1Q
2. Allah berfirman bahawa Dia adalah mengikut keyakinan hamba-Nya terhadap-Nya. Allah bersama seseorang itu bila dia berdoa kepada Allah. Jika kita yakin Allah akan jaga kita, nescaya Allah akan menjaga kita dan begitulah sebaliknya.
3. Sekiranya kita “datang” kepada Allah sejengkal, Allah akan “datang” kepada kita sehasta; jika kita datang sehasta, Allah akan datang sedepa. Jika kita datang berjalan kaki, Allah akan datang kepada kita berlari-lari anak. Walaupun begitu, jangan kita menganggap Allah datang secara zahir dengan Zat-Nya.
4. Allah ingin benar memberikan kebaikan kepada kita dan sesungguhnya Allah sayang pada kita. Allah akan beri yang lebih baik dari apa yang kita minta, asalkan kita mengharapkan kebaikan dari-Nya. Jangan sekali-kali kita menganggap Allah itu bakhil, menyusahkan dan apa-apa yang tidak baik (jika sekiranya Allah lambat mengabulkan doa kita dsb). Allah akan membalas kebaikan kita yang sedikit dengan sebanyak-banyaknya dalam bentuk pahala dan lain-lain balasan.
5. Hadith keempat dari Abi Hurairah: Allah berfirman, “Aku mengikut keyakinan (kepercayaan) hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya bila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat sendirian, Aku pun ingat kepadanya sendirian”. Allah akan menganugerahkan pemberian yang istimewa kepadanya kerana mengingati Allah bersendirian. Oleh itu, ramai ulama’ berpendapat zikir “khafi” (tersembunyi, bersendirian) adalah lebih baik dari zikir secara terang dan nyaring. Jika seseorang ingat kepada Allah di khalayak ramai, Allah akan mengingatinya di khalayak yang lebih baik, iaitu di kalangan maklhuk (malaikat) di langit. Balasan kebaikan yang diberikan Allah adalah jauh berkali ganda banyaknya daripada kebaikan yang seseorang buat.
6. Hadith kelima dari Abu Zar: Sesiapa yang melakukan kebaikan dia akan mendapat sepuluh kali ganda balasan malah akan ditambah lagi. Jika dia melakukan kejahatan, Allah akan balas seumpamanya atau Allah mengampunkan dosanya.
7. Apakah maksud Allah membalas kejahatan seseorang dengan seumpamanya? Kadang-kadang kita dapati orang-orang kafir, perangainya lebih baik daripada orang Islam, menyebabkan kita tertanya-tanya mengapa mereka diseksa dengan dahsyat di akhirat nanti dan mereka akan kekal di dalam neraka. Jawapannya, dosa syirik dan menyekutukan Allah adalah dosa paling besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah. Mungkin kita tidak boleh bayangkan bagaimana besarnya dosa syirik ini. Bandingkan syirik ini dengan api mancis yang kecil. Api yang kecil ini berpotensi mencetuskan kebakaran yang boleh menghanguskan satu perkampungan jika dibiarkan merebak. Begitulah juga, syirik yang ada pada seseorang mungkin nampak kecil tetapi boleh mengakibatkan mudarat dan kemusnahan yang besar kepada tamaddun dan kehidupan manusia. Allah amat tahu akibat dan keburukan dari syirik ini.
8. Ramai manusia tidak faham atau tidak tahu akibat dari larangan-larangan Allah. Contohnya, ramai tidak nampak keburukan amalan riba. Orang ramai mungkin menyangka amalan riba adalah adil dan baik di mana pemilik harta telah membantu orang lain, dan sebagai balasan dari pertolongannya dia diberi sedikit imbuhan. Imbuhan ini adalah sebagai ganti rugi kepadanya yang terlepas peluang memanfaatkan harta tersebut dengan berniaga, contohnya, dan mengaut keuntungan. Orang-orang kapitalis hanya akan berfikir setakat itu, tetapi agama Islam meneroka lebih jauh, antaranya, ada kemungkinan harta tersebut musnah atau dicuri sekiranya berada di tangan pemilik asal. Jika wang tersebut digunakan untuk berniaga, ada kemungkinan perniagaan tersebut mengalami kerugian. Oleh itu, mensyaratkan bayaran tambahan adalah kezaliman kepada orang yang berhutang (yang dalam keadaan susah dan memerlukan). (Boleh rujuk perbincangan tentang riba di sini: https://youtu.be/Zk5W6j6pm_o )
9. Orang awam akan mudah bersetuju dengan hukuman penjara untuk kesalahan mencuri dan merompak kerana akibat dari jenayah ini nampak jelas. Tetapi jika seorang cendekiawan atau pejuang masyarakat yang cuba merubah pemikiran masyarakat dan menentang kerajaan atau sistem pemerintahan sedia ada, tidak dirasakan sangat kesan “kejahatan” atau “keburukan”nya walaupun hukuman ke atas “kesalahan” tersebut mungkin amat berat seperti penjara seumur hidup atau hukuman mati. Kerajaan-kerajaan di dunia ini mengenakan hukuman yang berat terhadap kesalahan yang mencabar kedudukan mereka, bagaimana pula jika kerajaan yang paling besar, Kerajaan Allah dicabar? Mesyirikkan Allah adalah seperti mencabar kerajaan Allah. Ayat al-Quran (Surah Luqman, ayat 13), menyebut perbuatan syirik itu adalah kezaliman yang amat besar.
10. Kita rasa terkesan dan tergugat bila kehilangan harta kerana dianiayai, malangnya ramai manusia tidak berasa apa-apa bila pemikiran atau aqidah mereka dirosakkan oleh fahaman-fahaman syirik dan menyeleweng.
11. Allah akan membalas kejahatan dengan yang seumpamanya ataupun Allah akan mengampunkannya. Jika Allah mengampunkan dosa-dosa seseorang, tiada lagi balasan buruk kepadanya. Sayugianya kita tidak berputus asa dengan rahmat Allah walaupun sebanyak mana pun kesalahan dan dosa kita. Tetapi jangan pula menganggap remeh dosa-dosa yang kita lakukan kerana kita tidak tahu sama ada Allah akan mengampunkannya atau tidak. Sekiranya dosa-dosa tersebut tidak diampunkan, balasan dan seksaannya adalah amat pedih dan lama.
12. Allah boleh ampunkan semua dosa kita walaupun ianya sepenuh bumi dengan syarat kita tidak syirik kepada-Nya. Barangkali tidak ada antara kita yang melakukan dosa sehingga penuh bumi, oleh itu hendaklah kita bersangka baik dengan Allah yang Dia akan mengampuni kita. Mintalah ampun kepada Allah dengan yakin bahawa Allah akan menerima taubat kita; sesungguhnya Allah adalah maha pengampun, maha menerima taubat dan maha penyayang. Janganlah kita terlalu gundah dengan dosa-dosa kita yang jauh lebih kecil dan pastikan kita tidak syirik kepada Allah kerana dosa syirik adalah dosa paling besar dan tidak akan diampunkan oleh Allah.
MATAN DAN RINGKASAN SYARAH HADITH – ORANG YANG SUKA BERTEMU DENGAN ALLAH, ALLAH JUGA SUKA BERTEMU DENGANNYA DAN ORANG YANG TIDAK SUKA BERTEMU DENGAN ALLAH, ALLAH JUGA TIDAK SUKA BERTEMU DENGANNYA
Orang yang suka bertemu dengan Allah, Allah juga suka bertemu dengannya dan orang yang tidak suka bertemu dengan Allah, Allah juga tidak suka bertemu dengannya
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Ubadah bin As-Shamit bahawa Nabiyallah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang suka bertemu Allah, Allah suka bertemu dengannya dan sesiapa tidak suka bertemu dengan Allah, Allah juga tidak suka bertemu dengannya”.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya yang berbeza tetapi kandungan hadithnya sama (seperti hadith pertama)
Hadith Ketiga – Riwayat daripada ‘Aisyah, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah akan suka bertemu dengannya. Sesiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, Allah juga tidak suka bertemu dengannya”. “Sayapun kata”, kata ‘Aisyah, “Wahai Nabiyallah! Apakah maksudnya, tidak sukakan mati? Kalau begitu, semua kita tidak sukakan mati”. Nabi s.a.w. menjelaskan, “Bukan begitu maksudnya tetapi orang mukmin apabila diberikan berita gembira akan mendapat rahmat Allah dan keredhaan-Nya, syurga-Nya, dia suka bertemu dengan Allah. Pada ketika itu Allah juga suka bertemu dengannya dan orang kafir apabila diberi berita akan mendapat azab Allah dan kemurkaan-Nya, dia tidak suka bertemu dengan Allah, Allah juga tidak suka bertemu dengannya.
Hadith Keempat – Dengan sanadnya yang satu lagi, daripada ‘Aisyah, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “”Sesiapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah suka bertemu dengannya dan sesiapa tidak suka bertemu dengan Allah, Allah tidak suka bertemu dengannya. Mati itu sebelum bertemu dengan Allah lagi berlakunya”.
Hadith Kelima – Dengan sanad satu lagi, daripada ‘Aisyah, sama isi kandungannya seperti hadith sebelum ini (hadith Keempat)
Hadith Keenam – Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abi Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah akan suka bertemu dengannya, sesiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, Allah tidak suka bertemu dengannya. Kata Syuraih bin Hani’, “Aku pergi berjumpa dengan ‘Aisyah”. Aku berkata, “Wahai Ummul Mu’minin! Saya dengar Aba Hurairah menyebutkan dari Rasulullah s.a.w. suatu hadith. Kalau begitulah keadaannya, binasalah kita”. Kata ‘Aisyah, “Sesungguhnya orang yang binasa ialah orang yang binasa dengan sabda Rasulullah s.a.w.”. Syuraih berkata, “Apa itu?”. Kata perawi, “Sesiapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah akan suka bertemu dengannya dan sesiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, Allah tidak akan suka bertemu dengannya. Tidak ada sesiapapun di antara kita ini melainkan tidak suka akan kematian”. ‘Aisyah berkata, “Rasulullah s.a.w. memang telah bersabda begitu tapi maksudnya bukan seperti yang engkau faham. Maksudnya ialah, apabila mata seseorang sudah terbeliak dan nafasnya kencang dan bulu romanya berdiri tegak dan jari-jemarinya kejang (keras), pada masa itu maksudnya sesiapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah akan suka bertemu dengannya. Sesiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, Allah juga tidak suka bertemu dengannya”.
Hadith Ketujuh – Dengan sanad satu lagi, hadith serupa dengan yang sebelum ini (hadith keenam).
Hadith Kelapan – Riwayat daripada Abi Musa daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Sesiapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah akan suka bertemu dengannya dan sesiapa tidak suka bertemu dengan Allah, Allah juga tidak suka bertemu dengannya”.
[RINGKASAN] Orang yang suka bertemu dengan Allah, Allah juga suka bertemu dengannya dan orang yang tidak suka bertemu dengan Allah, Allah juga tidak suka bertemu dengannya
Sesiapa yang suka bertemu dengan Allah, Allah juga suka bertemu dengannya dan sesiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, Allah juga tidak suka bertemu dengannya. Allah akan tunjukkan kepada orang yang hampir mati (nazak) tempatnya nanti di akhirat di mana orang yang taat ditunjukkan kepadanya syurga menyebabkan dia gembira untuk mati dan berjumpa Allah. Manakala orang kafir ditunjukkan kepadanya azab neraka menyebabkan dia tidak mahu mati dan tidak mahu berjumpa dengan Allah.
Allah telah menetapkan peraturan bahawa orang yang beriman dan taat akan dibalas dengan syurga dan orang kafir akan dibalas dengan neraka. Sunnah yang Allah tetapkan ini adalah untuk menjadi panduan kepada manusia hidup di atas dunia ini. Allah mungkin mengampunkan sesetengah orang yang melakukan dosa dan maksiat tetapi ianya semata-mata rahmat Allah, oleh itu, jalan yang paling selamat dan terjamin ialah dengan mentaati perintah Allah dalam kehidupan ini.
Syurga adalah tempat suci, mereka yang kotor dan berdosa tidak layak untuk tinggal di dalamnya. Neraka adalah tempat yang layak untuk orang yang kotor dan berdosa. Untuk memasuki syurga yang suci orang-orang yang kotor dengan dosa ini perlu dibersihkan, dan cara pembersihannya ialah dengan dibakar dengan api neraka, sebagaimana logam emas dibersihkan dari kotoran dengan dibakar dengan api.
Di dunia ini manusia telah diberi amaran supaya tidak melakukan dosa dan maksiat, oleh itu mereka patut dihukum jika tetap juga melakukannya sebagaimana kita dikenakan denda dan hukuman jika melakukan kesalahan di dunia ini.
Sayyidatina ‘Aisyah r.ha. bertanya Rasulullah s.a.w. adakah tidak suka berjumpa Allah itu bermaksud tidak suka mati. Nabi s.a.w. menjelaskan maksud sebenar hadith ini ialah bila dalam keadaan nazak (sebelum mati), orang mukmin bila diberitahu akan mendapat rahmat Allah, keredhaan-Nya, syurga dsb mereka gembira untuk berjumpa Allah dan begitulah sebaliknya orang kafir diberi berita akan mendapat seksaan, azab neraka, kemurkaan Allah, dia tidak suka untuk bertemu Allah dan tidak ingin mati dan berjumpa Allah.
Balasan-balasan yang akan diterima seseorang ditunjukkan sebelum dia mati, oleh itu orang yang ditunjukkan balasan baik akan suka dan gembira untuk mati manakala orang yang ditunjukkan balasan buruk, tidak suka untuk mati. Apa yang ditayangkan kepada mereka semasa nazak, pada kita yang hidup ini mengambil masa yang singkat tetapi mungkin lama kepada orang yang akan mati tersebut.
Azab kubur akan benar-benar dirasakan dan bukan sebagai mimpi.
Syuraih bin Hani’ berjumpa Sayyidatina ‘Aisyah selepas mendengar hadith ini daripada Abu Hurairah. ‘Aisyah r.ha. menceritakan maksud “tidak suka bertemu dengan Allah” sebagaimana yang diceritakan oleh Nabi s.a.w. kepadanya. Perkara ini berlaku ketika seseorang nazak di mana matanya terbeliak, nyawa kencang, bulu roma berdiri dan jari-jemari kejang dan keras.
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ رَافِعٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ، عَنْ هَمَّامِ بْنِ مُنَبِّهٍ، قَالَ هَذَا مَا حَدَّثَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَ أَحَادِيثَ مِنْهَا وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” لاَ يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ وَلاَ يَدْعُ بِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُ إِنَّهُ إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ وَإِنَّهُ لاَ يَزِيدُ الْمُؤْمِنَ عُمْرُهُ إِلاَّ خَيْرًا ” .
Larangan mencita-citakan kematian kerana sesuatu malapetaka yang menimpanya
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu mencita-citakan kematian kerana sesuatu malapetaka yang menimpanya. Kalau dia hendak juga, maka hendaklah dia berkata,”Ya Allah! Terus hidupkanlah daku selagi kehidupan ini baik untukku dan ambillah nyawaku jika kematian itu baik kepadaku”.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas daripada Nabi s.a.w., sama seperti hadith sebelum ini, kecuali Baginda menyebutkan, “Malapetaka yang mengenainya” di tempat, “Malapetaka yang menimpanya”.
Hadith Ketiga – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Nadhr Bin Anas. Anas (ayah kepada Nadhr) pada masa ini masih hidup. Kata Anas, “Kalaulah tidak kerana Rasulullah bersabda, janganlah sekali-kali seseorang daripada kamu mencita-citakan kematian, nescaya aku mencita-citakannya (mengingininya).
Hadith Keempat – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Qais bin Abu Hazim: Pernah kami masuk menziarahi Khabbab, ketika itu dia telah diselarkan dengan besi panas sebanyak tujuh kali di perut. Dia berkata, “Kalaulah tidak kerana Rasulullah s.a.w. telah melarang kami meminta kematian, nescaya aku berdoa meminta kematian”.
Hadith Kelima – Dengan beberapa sanad lagi, adalah sebagaimana di atas (hadith keempat).
Hadith Keenam – Riwayat daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w., Hammam bin Munabbih menyebut beberapa hadith. Antaranya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Janganlah seseorang daripada kamu itu mencita-citakan kematian dan jangan dia berdoa minta kematian sebelum ia datang (sebelum kematian itu datang sendiri) sebabnya jika seseorang dari kamu mati terputuslah amalnya padahal orang mukmin itu umumnya tidak menambahkan kepadanya kecuali kebaikan”.
[RINGKASAN] Larangan mencita-citakan kematian kerana sesuatu malapetaka yang menimpanya
1.Jangan mencita-citakan (menginginkan) kematian disebabkan oleh malapetaka yang menimpa kita. Ada sesetengah orang, timbul keinginan untuk mati bila tidak tertanggung dengan ujian seperti sakit, susah, difitnah, diganggu dan sebagainya. Sebenarnya, dia tidak tahu apakah keadaannya selepas mati (yang mungkin lebih teruk dari keadaannya sekarang). Dalam apa keadaan sekalipun, kita tidak boleh berputus asa dari rahmat Allah
2. Masalah dan kesulitan adalah lumrah kehidupan. Kesempitan dan kesusahan tidak akan kekal, dan selepas itu akan ada kemudahan. Semuanya itu adalah ketentuan Allah, oleh itu janganlah kita putus harapan dari rahmat Allah. Walaupun begitu, jika kita tidak dapat menanggung ujian yang diterima, setinggi-tinggi yang kita boleh lakukan ialah berdoa dengan doa ini, “Ya Allah, Engkau teruskan aku hidup, selagi hidup ini baik untukku dan Engkau ambillah nyawaku jika kematian itu baik kepadaku”. Kita tidak boleh meminta dengan hanya berkata, “Ambillah nyawaku”, “Matikanlah aku” dan seumpamanya tanpa menyebut “Kalau kematian itu baik bagiku”.
3. Manusia berbeza-beza dalam menghadapi dan menanggapi ujian. Pada seorang remaja, putus cinta sudah menjadi perkara yang besar manakala ada pula orang yang menghadapi masalah yang besar-besar dengan tenang dan lapang dada.
4. Tiada istilah bunuh diri dalam Islam. Mereka yang membunuh diri, sebenarnya tidak mengenal tuhan. Kita orang Islam boleh melepaskan perasaan, tetapi hadnya ialah setakat berdoa sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadith ini.
5. Bila berdoa atau meminta sesuatu kepada Allah, gantungkanlah dengan syarat, kabulkan jika ianya baik untuk dunia dan akhirat. Jika tidak dikabulkan doa itu, kita akan redha kerana itulah pilihan Allah untuk kita. Kita tidak tahu apakah akibat buruk yang bakal kita terima jika permintaan kita itu dikabulkan.
6. Imam an-Nawawi menyebut: Hadith ini menegaskan adalah dilarang mencita-citakan kematian kerana malapetaka yang menimpa seperti penyakit, kepapaan (kemiskinan), ujian dari musuh atau lain-lain kesukaran dalam perkara dunia. Tetapi jika seseorang itu khuatir ujian itu akan memudaratkan agamanya (terfitnah dalam hal agamanya), maka tidak makruh (tidak terlarang) baginya berdoa seperti doa yang diajarkan Nabi dalam hadith ini. Contoh terfitnah dalam agama ialah seperti terjebak dengan ajaran sesat dan mati dalam keadaan tersebut, nauzubillahiminzalik (semoga kita dilindungi Allah dari perkara tersebut).
7. Berdoalah kepada Allah dengan beradab seperti jangan menuduh Allah enggan memakbulkan doa-doa kita sebelum ini. Berdoalah dalam keadaan merendahkan dan menghinakan diri di depan Allah.
8. Anak kepada Sahabat besar Anas, Nadhr bin Anas, menceritakan bahawa ayahnya berkata, jika tidak kerana Nabi s.a.w. melarang dari mencita-citakan kematian, nescaya dia akan mencita-citakan kematian. Dunia ini tidaklah begitu besar atau penting kepadanya.
9. Walau sebesar manapun masalah yang dihadapi, biarlah kematian itu datang sendiri (bukan dengan diminta-minta atau diusahakan). Islam mengajar kita menghargai kehidupan, kerana selagi ada nyawa, kita berpeluang berbuat kebaikan. Oleh itu kita orang Islam hendaklah tahu menghargai nyawa dan menjaga kesihatan seperti menjaga pemakanan dsb.
10. Banyak kebaikan yang kita boleh lakukan jika umur kita panjang, sekurang-kurangnya kita boleh berzikir, berdoa, istighfar, beribadat dll.
11. Khabbab, Sahabat Nabi yang mengajar al-Quran kepada adik Sayyidina Umar yang menyebabkan Umar r.a. memeluk Islam, berubat dengan “kay” (diselar dengan besi panas) sebanyak tujuh kali di perutnya. Katanya, kalaulah tidak kerana Nabi s.a.w. melarang meminta mati, nescaya dia sudah berdoa untuk mati. Ingatlah, Sahabat besarpun diuji sedemikian rupa.
12. Nabi s.a.w. bersabda jangan mencita-citakan dan mendoakan kematian sebelum sampai masanya kerana bila datang kematian, terputuslah amalan seseorang. Seseorang hendaklah meminta supaya dipanjangkan umur dalam ketaatan kerana lebih panjang umur seseorang mukmin, maka bertambahlah kebaikan kepadanya. Kemungkinan seseorang yang baik di masa mudanya berubah kepada jahat di masa tuanya adalah amat kecil, dan jika ianya berlaku, ianya adalah sebagai peringatan kepada manusia supaya jangan leka dalam hidup ini
Bersungguh-sungguh ketika berdoa dan janganlah seseorang itu berkata, “Jika Engkau (Allah) kehendaki”
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang daripada kamu berdoa, maka hendaklah dia bersungguh-sungguh ketika berdoa itu. Janganlah dia berkata, “Ya Allah! Jika Engkau kehendaki, maka berikanlah kepadaku”, kerana Allah tidak ada sesiapapun yang (dapat) memaksa-Nya.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Rasululllah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang daripada kamu berdoa, janganlah dia berkata, “Ya Allah! Ampunilah daku jika Engkau mahu”, tetapi dia hendaklah bersungguh-sungguh meminta dan menampakkan keinginannya yang amat sangat kerana tidak ada sesuatu (yang diberi-Nya itu) yang besar kepada Allah.
Hadith Ketiga – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, katanya Nabi s.a.w. bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu berkata, “Ya Allah! Ampunilah daku jika Kau kehendaki. Ya Allah! Kasihanilah daku jika Engkau kehendaki”. Dia hendaklah bersungguh-sungguh dalam doanya kerana Allah memang melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Tidak ada sesiapapun dapat memaksa-Nya.
[RINGKASAN] Bersungguh-sungguh ketika berdoa dan janganlah seseorang itu berkata, “Jika Engkau (Allah) kehendaki”
1. Hadith ini menetapkan salah satu kaedah atau adab berdoa kepada Allah iaitu jangan menggantungkan doa kita dengan ucapan “insya Allah” (jika Allah menghendaki). Ini berbeza jika kita berinteraksi dengan manusia, di mana kita diperintahkan supaya menggantungkan dengan keizinan dan kehendak Allah. Ini sebagaimana dinyatakan di dalam Surah Al-Kahfi ayat 23 dan 24, maksudnya: Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”.
2. Bila kita berdoa kepada Allah kita dilarang menggantungkan dengan ungkapan “insya Allah” kerana ianya menggambarkan seolah-olah Allah itu lemah dan terhad kekuasaan-Nya. Sebaliknya jika kita meminta kepada manusia, mereka mungkin berasa berat untuk menunaikan hajat kita kerana manusia itu lemah dan mereka mungkin berasa dipaksa. Kita tidak boleh bayangkan Allah itu dipaksa atau terpaksa melakukan sesuatu dan hakikatnya tiada halangan bagi Allah untuk menunaikan hajat kita. Adalah aqidah kita bahawa Allah Maha Perkasa (Aziz), Maha Berkuasa (Qadir), Maha Keras dan Kuat (Jabbar), Yang Memaksakan (Qahhar); tidak ada keadaan tertekan atau terpaksa kepada Allah.
3. Oleh itu kita boleh meminta apa saja dan sekerap mana pun kepada Allah. Mintalah dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh harapan kepada Allah dan jangan menyertakan permintaan itu dengan ucapan “Insya Allah” (jika Engkau kehendaki). Ingatlah Allah Maha Perkasa, Maha Berkuasa, Maha Kaya dsb dan Dia tidak tertekan atau terpaksa. Tiada sesuatu perkara pada Allah itu besar, tidak kira apa pun, sama ada wang ringgit, kuasa atau apa saja. Walaupun begitu, hendaklah kita meminta sesuatu yang mampu kita tanggung.
4. Janganlah kita menyangka bahawa dengan meminta banyak atau kerap kita seolah-olah memaksa (atau menyusahkan) Allah. Mintalah dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati dan tidak disertakan dengan andaian-andaian atau sangkaan-sangkaan kerana tiada sesuatupun yang Allah beri itu besar di sisi-Nya.
5. Apa saja yang ada di atas dunia ini kecil bagi Allah. Bayangkan apa yang disediakan untuk ahli syurga yang paling rendah ialah sebesar bumi dan tujuh petala langit. Kita tidak boleh bayangkan kebesaran Allah, jadi mintalah apa saja kepada Allah, ianya terlalu kecil di sisi Allah.
6. Begitu juga jika meminta ampun daripada Allah, jangan letakkan syarat jika Allah mahu terima atau jika Allah kehendaki. Ini adalah kerana keampunan, kasihan belas dan kasih sayang Allah amat luas. Allah boleh buat apa sahaja yang Ia kehendaki, tidak ada sesiapa yang dapat memaksanya.
7. Aqidah seorang muslim ialah Allah berkuasa mutlak (“mukhtar mutlak”). Allah boleh berbuat apa saja yang Ia kehendaki dan tiada siapa yang dapat menahan-Nya.
حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ رَافِعٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ، عَنْ أَيُّوبَ، عَنِ ابْنِ سِيرِينَ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، وَعَنْ هَمَّامِ بْنِ مُنَبِّهٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلاَّ وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ ” . وَزَادَ هَمَّامٌ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ” إِنَّهُ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ ” .
Nama-Nama Allah Dan Kelebihan Orang Yang Mengimaninya
Hadith Pertama – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Allah mempunyai 99 nama. Sesiapa yang menghafalnya dia akan masuk syurga. Sesungguhnya Allah itu tunggal (ganjil). Dia sukakan yang ganjil”. Dalam riwayat Ibni Abi Umar, “Sesiapa yang mengimaninya”.
Hadith Kedua – Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama (seratus kurang satu). Sesiapa yang mengimaninya dia akan masuk syurga”. Hammam menambahkan dari Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w., “Sesungguhnya Dia (Allah) itu ganjil. Dia sukakan yang ganjil”.
[RINGKASAN] Nama-Nama Allah Dan Kelebihan Orang Yang Mengimaninya.
1. Allah mempunyai 99 nama dan sesiapa yang menghafalnya (mengingati), dia akan masuk syurga. Dari hadith ini, nampaknya untuk masuk syurga tidaklah sukar, dengan syarat seseorang itu hendaklah orang yang beriman.
2. Persoalannya, adakah dengan semata-mata menghafal 99 nama Allah, seseorang itu akan masuk syurga? Jawapannya, ya, jika sekiranya Allah kehendaki. Hakikatnya, syurga yang mahal itu dapat dimasuki bukan kerana amalan dan ibadat kita kerana amalan tersebut tidak sepadan dengan nilai syurga. Kita masuk syurga adalah kerana rahmat Allah. Jika Allah berkenan untuk berikan kita syurga kerana perkara ini (menghafal nama Allah) ianya adalah kurniaan daripada Allah kerana Dia maha pemurah. Kita tidak tahu amalan apakah yang menyebabkan Allah merahmati kita dan memasukkan kita ke dalam syurga.
3. Ulama’-ulama’ telah berbincang tentang adakah dengan semata-mata menghafal nama-nama Allah akan menyebabkan seseorang masuk syurga. Mungkin saja Allah memasukkan seseorang ke dalam syurga kerana sebab ini tetapi ditakuti ada salah faham di mana manusia hanya berpada dengan menghafal sahaja dan berharap Allah menganugerahkan mereka dengan syurga. Dalam hal ini ianya seolah-olah mencuba nasib dalam cabutan bertuah atau loteri. Sebenarnya kita tidak boleh mengharapkan syurga dengan semata-mata menghafal nama-nama Allah. Alangkah ruginya jika kita mengharapkan syurga dengan hanya menghafal nama-nama Allah tanpa melakukan kebaikan yang lain. Oleh itu kita hendaklah juga melakukan sebanyak-banyak amalan soleh kerana anugerah syurga dari menghafal nama-nama Allah semata-mata adalah kes terpencil dan hanya bergantung kepada nasib.
4. Antara perkara yang perlu ditekan ialah di samping menghafal nama-nama Allah, seseorang itu hendaklah faham dan percaya kepada maksudnya (mengimaninya). Juga perlu diingat bahawa, masuk syurga kerana menghafal tidak bermaksud masuk syurga yang istimewa atau masuk syurga dahulu daripada orang lain. Hakikatnya, semua orang beriman akhirnya akan masuk syurga walaupun tidak menghafal nama-nama Allah.
5. Apa yang disebut dalam hadith ini adalah salah satu cara untuk menarik dan menggalakkan orang supaya melakukan kebaikan. Ianya tidak diberitahu dengan terperinci tetapi cukup diberitahu secara umum. Sebagai contoh, hadith ganjaran solat berjemaah di saf pertama. (Hadith Nabi: “Sekiranya manusia mengetahui kelebihan yang ada pada…saf pertama, …nescaya mereka akan melakukan undian…”). Maksud sebenar berada di saf pertama ialah mereka yang terkedepan dalam mempertahankan agama dan hukum Allah sehingga sanggup menggadaikan nyawa (saf pertama, barisan pertama, dalam peperangan). Juga di saf pertama ialah orang yang paling alim dan cerdik yang boleh menggantikan imam (pemimpin) jika perlu.
6. Dalam hadith ini, disebut Allah ada 99 nama. Sebenarnya Allah mempunyai lebih dari 99 nama sehinggakan ada ulama’ yang berpendapat nama Allah tidak terhitung banyaknya. Walaupun begitu adalah sudah memadai bagi kita untuk mengetahui setakat 99 nama tersebut (yang mana diberitahu di dalam al-Quran dan hadith).
7. 99 nama Allah tersebut mempunyai keistimewaan yang khusus dan sesiapa yang memahami dan mengimaninya, nescaya sempurnalah imannya. Nota: Nama zat tuhan ialah “Allah”, manakala nama-nama lain adalah nama sifat-sifat Allah seperti Yang Pemurah, Yang Penyayang dsb. Bila kita memohon kepada Allah, hendaklah kita guna (sebut) nama sifat Allah yang berkaitan dengan permohonan kita.
8. Pentingnya mengetahui maksud nama sifat Allah adalah supaya kita dapat berdoa mengikut keperluan kita berdasarkan nama-nama sifat Allah tersebut. Adalah sudah memadai untuk kita kenal, beriman dan beramal dengan 99 nama ini. Bila kita selamat di dunia dan kenal Allah maka selamatlah hidup kita di akhirat.
9. Disebut 99 nama kerana ada hadith khusus yang mengumpulkan nama-nama tersebut. Ianya sebagaimana hadith 10 orang Sahabat Nabi yang dijamin syurga; padahal bukan hanya 10 orang Sahabat sahaja yang dijamin masuk syurga.
10. Sesungguhnya Allah itu ganjil (tunggal), Dia sukakan yang ganjil. Banyak ibadat yang menekankan bilangan ganjil seperti berwudhu’ tiga-tiga kali, tawaf tujuh kali, istinja’ tiga kali dsb. Setiap perkara ada sekutu dan lawannya kecuali Allah, yang ganjil. Menekankan konsep ganjil adalah isyarat bahawa Islam cukup serius dalam menanam aqidah tauhid dan sentiasa ingin mengingatkan kita Allah adalah ganjil dan tidak sama dengan makhluk. Ini adalah ajaran Islam yang paling utama. Ganjil dan tidak serupa dengan yang lain adalah istimewa.
11. Ringkasnya, ada yang mengambil maksud hadith ini secara literal iaitu hafal nama-nama Allah akan dapat masuk syurga. Ada ulama’ yang mengatakan menghafal nama-nama Allah hendaklah diiringi dengan menjaga tuntutan nama-nama Allah itu, beramal dengan nama-nama Allah (contohnya, Allah yang mempunyai sifat berilmu, kita hendaklah mengamalkan sifat Allah itu dengan menjadi orang yang berilmu). Semakin banyak kita ada sifat-sifat Allah, semakin sempurnalah kita.
12. Ada juga yang berpendapat menghafal nama Allah adalah menghafal al-Quran kerana di dalam al-Quran ada nama-nama Allah.
Jadilah “al-Mufarriduun” – Orang Yang Banyak Mengingati Allah Dengan sanadnya Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, katanya, Rasulullah s.a.w. pernah lalu di satu jalan Mekah. Di situ, Baginda lalu dekat satu bukit yang dipanggil Jumdan. Baginda s.a.w. bersabda, “Berjalanlah kamu! Ini Bukit Jumdan. Terkedepanlah al-Mufarriduun (orang-orang yang mengesakan Allah, ahli tauhid)”. Para Sahabat bertanya, “Siapakah al-Mufarriduun itu, wahai Rasululllah?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Orang-orang lelaki dan perempuan yang banyak (selalu) mengingati Allah”.
[RINGKASAN] Jadilah “al-Mufarriduun” – Orang Yang Banyak Mengingati Allah
1. Beruntunglah golongan “al-Mufarriduun” – Golongan al-Mufarriduun ialah orang-orang yang banyak berzikir (mengingati) kepada Allah.
2. Ulama’-ulama’ telah memberi beberapa makna tentang siapakah golongan al-Mufarriduun, antaranya,
i. Ibnu Qutaibah: al-Mufarriduun ialah orang-orang yang ramai teman-teman sebaya dengannya telah meninggalkannya (meninggal dunia). Mereka hidup dalam keadaan sentiasa mengingati Allah. Inilah orang-orang yang bertuah, beruntung dan berjaya. Panjang umur di dalam ketaatan kepada Allah adalah suatu kelebihan. Ini adalah bila kebaikan yang dilakukan mengatasi kejahatan dan maksiat. Banyak hadith-hadith yang menyebut kelebihan panjang umur dalam ketaatan.
ii. Ada ulama’ yang mengatakan al-Mufarriduun ialah orang yang gementar (atau bergoyang kerana keseronokan) bila mengingati Allah.
iii. Ibnu ‘Arabi berkata: al-Mufarriduun ialah orang yang mengerti tentang agama (orang alim) yang mengasingkan diri dari masyarakat dan hidup dalam keadaan menjaga perintah dan larangan Allah. Dia tidak terlibat dengan perkara-perkara yang sia-sia dalam masyarakat,
iv. Dalam hadith ini disebut, al-Mufarriduun ialah orang yang berzikir kepada Allah.
3. Zikir kepada Allah adalah sama ada zikir “khafi” ataupun zikir dengan suara yang kuat. Zikir khafi bermaksud kita sentiasa ingat kepada Allah dalam hati kita. Kita sentiasa ingat kepada Allah dalam setiap tingkah laku, fikiran atau pertuturan kita. Setiap orang Islam hendaklah memiliki sifat ini. Juga termasuk dalam zikir khafi, ialah berzikir dengan lafaz-lafaz tertentu (seperti “lailahaillallah”) di dalam hati.
4. Zikir boleh juga dengan suara kuat, contohnya, Imam membaca al-Quran dengan suara nyaring dalam solat berjemaah maghrib, isya’ dan subuh. Zikir dengan suara kuat adalah elok jika sesuai di tempatnya, tetapi tidak sesuai jika tidak disunnahkan.
5. Dalam banyak keadaan, zikir secara perlahan (atau dalam hati) adalah lebih baik kerana terpelihara di segi keikhlasan. Ada disebut dalam hadith, “Kalau dia mengingati-Ku sendirian, Aku akan mengingatinya sendirian…”. Allah akan memberi ganjaran kepada orang yang mengingati-Nya (berzikir) dalam keadaan sendirian dan Allah tidak memberitahu sesiapapun tentang ganjarannya itu termasuk kepada malaikat.
6. Ramai ulama’ berpendapat zikir khafi adalah lebih baik, dan kita tidak perlu gunakan tasbih atau alat penghitung untuk berzikir. Usahakanlah supaya keikhlasan kita dalam beribadat kepada Allah terjaga. Tetapi ada juga ulama’ yang berpendapat zikir dengan suara yang kuat kadang-kala lebih baik jika kita dapat menjaga keikhlasan. Ini adalah kerana zikir secara kuat melibatkan lebih banyak anggota seperti lidah dan telinga, dan ianya dapat menjadi contoh dan dapat mengajar orang lain.
7. Ingat kepada Allah bukan hanya ingat kepada zat Allah tetapi juga ingat kepada setiap perintah dan larangan-Nya.
Bab – Galakan Supaya Mengingati Allah Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah azzawajalla berfirman, “Aku mengikut keyakinan hamba-Ku terhadap-Ku. Dan Aku bersamanya bila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam Diri-Ku. Dan jika dia mengingati-Ku di khalayak ramai, Aku akan mengingatinya di khalayak yang lebih baik daripada mereka. Jika dia menghampiriku sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. Jika dia menghampiri-Ku sehasta, Aku akan menghampirinya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, akan datang kepadanya dengan berlari-lari anak.”
[RINGKASAN] – Galakan Supaya Mengingati Allah
Hadith ini ialah sebuah hadith qudsi.
“Aku adalah mengikut keyakinan hamba-Ku kepada-Ku”, maksudnya, Allah akan “bertindak” ke atas hamba-Nya berdasarkan bagaimanakah sifat Allah yang diyakini oleh hamba tersebut. Jika dia yakin Allah Maha Pengampun, maka Allah akan mengampunkannya. Begitu juga tentang sifat-Nya yang mengabulkan doa, Allah akan menerima doa seseorang yang berdoa dengan penuh harapan dan yakin Allah akan menerima doanya. Jika seseorang itu menganggap Allah itu sukar atau bakhil, itulah akibat atau balasan yang akan diperolehinya. Kita hendaklah menerima dengan yakin semua sifat Allah ketika berdoa kepada-Nya terutamanya ketika menghadapi kematian. Ingatlah, Allah boleh berbuat apa sahaja yang Ia kehendaki dan semuanya kecil dan mudah bagi Allah. Kita hendaklah percaya kepada janji-janji Allah yang termaktub di dalam al-Quran. “Aku bersamanya bila dia mengingati-Ku”. Allah “bersama” kita bermaksud, Allah sentiasa menyokong, menjaga dan membela kita bila kita “ingat” kepada-Nya. “Ingat” tidak semestinya dengan menyebut, tetapi melalui amalan kita yang sentiasa berwaspada supaya apa yang kita buat adalah seperti yang Allah kehendaki. “Bersama” tidak sekali-kali bermaksud bersama dengan zat Allah, tetapi bermaksud rahmat, taufiq, hidayah dan perhatian dari Allah.
Ada fahaman yang salah iaitu “Allah ada di mana-mana”. Ramai yang salah faham bahawa ianya adalah salah satu aqidah Asya’irah tetapi yang sebenarnya aqidah Asya’irah (merujuk pendapat tokoh-tokoh mereka) tidaklah begitu. Manakala ada sesetengah golongan tasauf yang menganggap Allah ada di mana-mana. “Allah bersama kamu di mana sahaja kamu berada” boleh juga difahami sebagai ilmu Allah yang meliputi. “Mengingati Allah dalam dirinya”. Pemahaman yang lebih tepat ialah, mengingati Allah sendirian, tidak bersama-sama orang lain. Sesuai dengan amalan seseorang yang mengingati Allah sendirian, Allah akan memberi ganjaran sesuai dengan keikhlasannya tanpa diketahui oleh orang lain. Bila kita “mengingati Allah dalam khalayak”, Allah akan mengingati kita dalam khalayak yang lebh baik, iaitu di kalangan para malaikat. “Kalau dia mendekati Allah sejengkal, Allah akan mendekatinya sehasta”. Kalau diperhatikan di kalangan manusia, contohnya ibu bapa, akan membalas jasa anak lebih daripada jasa yang diberikan oleh anak. Apatah lagi jika Allah yang membalasnya. “Dekat” tidak merujuk kepada jarak fizikal tetapi bermaksud mentaati perintah Allah
Sentiasalah ingat akan sifat Allah yang maha pemurah dan maha mengasihani. Sekiranya kita berbuat baik, Allah akan menggandakan pahalanya, tetapi jika berbuat kejahatan, Allah akan membalasnya sekadar kejahatan tersebut atau mungkin saja Allah mengampunkannya. Jika kita “berjalan kaki” kepada Allah, Allah akan datang dengan “berlari-lari anak” kepada kita. Ini adalah suatu perumpamaan iaitu, Allah amat-amat mengalukan apa-apa kebaikan yang kita buat. Dengan melakukan sesuatu yang diperintah Allah secara benar, kehidupan dan fikiran kita akan berasa lebih luas dan selesa.